Selasa, 26 Ogos 2014



SEJARAH DAN PERKEMBANGAN SEKOLAH

SMK Bukit Sagu adalah sebuah sekolah di kawasan penempatan peneroka di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang terletak kira-kira 38km dari Bandar Kuantan dan didirikan di atas tanah seluas 23 ekar.  Sekolah ini telah menerima penyerahan kunci daripada kontraktor SM Pelangi pada 21 Disember 2010 dengan dihadiri oleh wakil pegawai dari Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran Pahang, dan Pejabat Pelajaran Daerah Kuantan. Sebelum sekolah ni beroperasi En. Hirudin bin Mohit telah dilantik sebagai ‘Caretaker’.

Pada 3 Januari 2011, sekolah ini telah menerima pelajar sulungnya seramai 326 orang dari Felda Gugusan Bukit Sagu. Manakala guru yang telah ditempatkan untuk mendidik di sekolah ini seramai 23 orang termasuk pentadbir. Bagi staf bukan akademik pula seramai 4 orang telah ditempatkan di sekolah ini. Dari aspek pembersihan bangunan dan kawasan pula seramai 7 orang pekerja swasta dan dari aspek pengawalan keselamatan seramai 3 orang pengawal keselamatan swasta telah ditempatkan untuk bertugas di sekolah ini.

Pengetua yang pertama mula ditugaskan di sini adalah En. Shahbudin bin Harun dari SMK Tersang, Raub Pahang. Beliau ditempatkan di sini bermula 1 Januari 2011. Pelajar yang telah ditempatkan di sekolah ini pula ialah pelajar Tingkatan 1 seramai 120 orang, pelajar tingkatan 2 seramai 112 orang manakala pelajar Tingkatan 4 seramai 104 orang. Sebanyak 4 kelas diperuntukan untuk pelajar Tingkatan Satu dan 3 kelas untuk Tingkatan 2 serta Tingkatan 4. Bagi pelajar Tingkatan 4, hanya aliran kemanusiaan sahaja ditawarkan kepada pelajar. Manakala dalam penawaran mata pelajaran elektif, hanya 3 pilihan mata pelajaran elektif yang ditawarkan untuk pelajar Tingkatan 4 iaitu mata pelajaran Akaun, Perdagangan dan Ekonomi Asas. Dalam pengagihan kelas pula, satu kelas diperuntukan untuk pelajar yang mengambil mata pelajaran elektif Akaun, 3 kelas untuk pelajar yang mengambil mata pelajaran Perdagangan dan 1 kelas untuk pelajar yang mengambil mata pelajaran Ekonomi Asas.Bilangan pelajar dan guru serta staf sokongan juga bertambah dari tahun ke tahun. Pada tahun 2013  SMK Bukit Sagu telah menerima seramai 478 orang pelajar manakala bilangan warga pendidik pula ialah 40 orang.

Untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada pelajar, pelbagai infrastruktur dan prasana telah dibina di sekolah ini. Antara infrastruktur dan prasana tersebut adalah Blok Pentadbiran, Blok Akademik 1, Blok Akademik 2 dan Blok Bengkel Kemahiran Hidup. Bagi menyahut seruan Kementerian Pelajaran, 1 murid 1 sukan, sekolah ini disediakan dengan sebuah padang serbaguna dan 2 buah gelanggang sepak takraw. Untuk memastikan pembelajaran maya dapat dilaksanakan seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan dan transformasi dalam pendidikan, kini makmal komputer telah dilengkapi dengan kemudahan komputer.    

Perkhidmatan pengetua En. Shahbudin bin Harun tidak lama di SMK Bukit Sagu kerana telah dipindahkan ke SMK Sungai Isap Murni dan digantikan dengan En. Masod bin Hj. Yunus dari Jabatan Pelajaran Negeri Pahang pada bulan Julai 2011. En. Masod bersara daripada perkhidmatan pada bulan Oktober 2012. Pada 1 Januari 2013 SMK Bukit Sagu telah menerima seorang pengetua iaitu Dr. Hj. Tajuddin bin Mohd Yunus bagi menggantikan pengetua sebelum ini yang bersara. Pada tahun 2013 SMK Bukit Sagu telah mencatat beberapa sejarah seperti telah dinobatkan selaku penerima Anugerah PIBG Terbaik kategori sekolah menengah pada Konvensyen Pendidikan dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Felda 2013. Dalam bidang kokurikulum beberapa orang pelajar telah mengharumkan nama sekolah kerana telah mewakili negeri Pahang dalam permainan bola baling, petangue dan sepak takraw.

Pada tahun 2013 ini juga SMK Bukit Sagu telah menempa satu lagi sejarah di mana dua orang pelajar iaitu Mohammad Alif Danial bin Mustafar (4B) dan Ahmad Bukharie bin Mohd Saidi (2F) telah terpilih untuk menyertai program latihan bola sepak bersama Akademi Bola Sepak Kelab Liga Perdana Inggeris Cardiff City di Cardiff City Wales di bawah penganjuran FELDA. Segala perbelanjaan ditanggung oleh pihak FELDA.

Diharapkan tahun-tahun yang akan mendatang ini akan membawa lebih banyak kejayaan dan nama kepada SMK Bukit Sagu.